Bab 1:
Isu dan Cabaran Pendidikan Semasa
1.1 ISU DAN CABARAN SEMASA
1.1.1
Konsep Isu Dan Cabaran Pendidikan
Menurut
Kamus Dewan (2007), isu merujuk kepada perkara pokok atau persoalan
yang dibincangkan. Cabaran pula merujuk kepada sesuatu unsur atau
faktor yang menguji kemampuan dan ketabahan sesuatu organisasi. Misi
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ialah untuk membangunkan potensi individu
melalui pendidikan berkualiti dan untuk itu, Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP)
2013-2025 telah diperkenalkan pada 11 September 2012.
Objektif Pelan pembangunan
Pendidikan (PPP) 2013-2025
1. Memahami prestasi dan
cabaran semasa sistem pendidikan Malaysia berfokuskan penambahbaikan akses
kepada pendidikan, meningkatkan standard (kualiti), merapatkan jurang
pencapaian (ekuiti), menggalakkan perpaduan dalam kalangan murid serta
memaksimumkan keberkesanan sistem.
2. Mewujudkan visi dan
aspirasi yang jelas untuk sistem pendidikan dan setiap murid bagi 13 tahun
yang seterusnya sehingga tahun 2025.
3. Menggariskan
program transformasi yang menyeluruh untuk sistem pendidikan, termasuk
perubahan utama dalam KPM, yang membolehkan sistem ini memenuhi permintaan
baharu dan jangkaan yang meningkat serta menyokong transformasi perkhidmatan
awam.
Sejak
tahun 1997, dua cabaran pendidikan alaf baru kerap yang diutarakan ialah ledakan
ilmu yang berbentuk global dan masalah sosial yang perlu ditangani dan
diatasi untuk membentuk masyarakat madani.
1.2
INTEGRASI NASIONAL
Merupakan proses penyatuan antara
kumpulan manusia yang berbeza latar belakang, status sosial dan budaya untuk
membentuk entiti yang mempunyai norma, sistem nilai dan mengamalkannya bersama.
Integrasi nasional merujuk kepada satu proses dinamik untuk merapatkan
masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Isu-isu
yang berkaitan dengan perpaduan dan integrasi nasional:
1. Tindakan kerajaan yang dilihat
sebagai diskriminasi oleh kaum-kaum lain.
2. Kurangnya sensitiviti dan
toleransi terhadap agama-agama lain.
3. Kurangnya semangat patriotisme
dalam kalangan masyarakat.
4. Peningkatan kes gelaja sosial
5. Pembangunan ekonomi yang tidak
seimbang.
6.
Peranan media massa yang mensensasikan isu perpaduan
(Jabatan
Perpaduan Negara & Integrasi Nasional, 2005)
1.2.1 Sekolah Wawasan
Sekolah
Wawasan dapat merapatkan kaum
Konsep
Sekolah Wawasan diluluskan pada 1997 menggabungkan tiga buah sekolah
berlainan aliran dalam satu kompleks yang mana pelajarnya berkongsi
kemudahan. Penubuhannya untuk mengeratkan perpaduan dalam kalangan
pelajar. Penyatuan murid-murid dengan menggunakan satu bahasa yang sama
iaitu bahasa kebangsaan dan dalam masa yang sama murid dapat memahami
budaya, bahasa dan pemikiran kaum lain.
1.2.2 Peranan Guru
dalam Menangani Isu Integrasi Nasional
Guru dianggap sebagai pembina negara bangsa kerana gurulah yang dapat membangunkan modal insan dan memastikan pembentukan jati diri murid yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi damn berpegang teguh kepada agama dan nilai sejagat seterusnya menjadi menjadi warganegara yang glokal. Berdasarkan panduan KPM, peranan guru sebagai pembina negara bangsa dilaksanakan menerusi:
1. Memperkasa
bahasa kebangsaan.
2. Memantapkan
perpaduan negara dan integrasi nasional.
3. Memupuk kecintaan kerhadap seni, warisan, budaya dan bangsa.
1.2.3 Konsep 1
Malaysia
Konsep 1 Malaysia diperkenalkan
oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia membawa
aspirasi dan harapan untuk merapatkan hubungan antara kaun bagi memastikan
rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang erat.
Konsep
1 Malaysia
Terdapat
8 nilai murni yang terkandung dalam konsep 1 Malaysia iaitu budaya
kecemerlangan, ketabahan, rendah diri, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi,
pendidikan dan integriti yang diharap dapat menyatupadukan rakyat Malaysia.
Dengan perlaksanaan 1 Malaysia, semua rakyat harus mendasari prinsip-prinsip
utama iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense
of belonging) bagi mencapai konsep ini.
1.3
PENDEMOKRASIAN PENDIDIKAN
Dewey
(1966) mengatakan bahawa pendemokrasian pendidikan merujuk kepada penyediaan
peluang yang terbuka untuk setiap orang bagi memperoleh kejayaan dalam pendidikan
dan menjadikan pendidikan sebagai ejen bagi meningkatkan kejayaan dan
kualiti hidup. Ahmad Fauzi (1997), Pendemokrasian pendidikan yang dimaksudkan
bukanlah sekadar pendemokrasian sahaja tetapi ialah persamaan hak yang sama
rata dari segi peluang mendapat pendidikan yang bermutu (democratization of
access to quality education). Dalam konsep pendemokrasian
pendidikan, dasar-dasar penting telah dibentuk.
Dasar-dasar
pendemokrasian pendidikan di Malaysia:
1.
Perlaksanaan pendidikan wajib pada peringkat asas.
2.
Perlaksanaan sekolah vernakular (sekolah Tamil dan Cina).
3.
Pendidikan selama 13 tahun.
4.
Sekolah teknikal, asrama penuh, pendidikan khas, swasta dan sek agama.
5.
Peluang Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) peringkat tinggi.
6.
Pendidikan sepanjang hayat.
Dalam
melaksanakan pendemokrasian pendidikan, terdapat beberapa cabaran yang perlu
dihadapi:
1. Penyediaan infrastruktur yang lengkap dan mencakupi untuk semua pelajar.
2. Kemudahan asas sekolah
dari segi bilangan bilik darjah, buku teks, pusat sumber dan sebagainya.
3. Sumber
tenaga kerja (bilangan guru siswazah dan bukan siswazah).
1.4 TONGGAK PENDIDIKAN
UNITED NATIONS EDUCATIONAL, SCIENTIFIC AND CULTURAL ORGANISATION (UNESCO)
Terdapat
empat tonggak pendidikan UNESCO:
(i) Belajar untuk menguasai
ilmu (learning to know).
(ii) Belajar untuk menguasai
kemahiran (learning to do).
(iii) Belajar untuk menjadi
insan berguna (learning to be).
(iv)
Belajar untuk harmoni dan berkerjasama (learning to live together).
Berdasarkan
cadangan UNESCO , pendidikan harus memberikan peluang kepada pelajar meneroka
dan memahami orang lain sejak awal persekolahan. Pendidikan harus menjadi wadah
untuk murid belajar tentang budaya, agama dan tingkah laku etnik di Malaysia.
1.5 GLOBALISASI DALAM
PENDIDIKAN
Scholte (2000:16) menyatakan
bahawa globalisasi merujuk kepada proses menyingkirkan batasan / sekatan
kerajaan mengenai pergerakan antara negara supaya mewujudkan satu ekonomi dunia
yang terbuka. Dalam konteks pendidikan, globalisasi ialah proses mengenepikan
sekatan untuk mewujudkan dunia terbuka tanpa sempadan.
Impak globasasi dalam
pendidikan:
(i) Penggunaan bahasa inggeris
sebagai bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa.
(ii) Pendidikan negara terbuka
kepada dunia luar.
(iii) Pertumbuhan cawangan
universiti luar di dalam negara.
(iv) Peluang pendidikan semakin
banyak dengan penubuhan intitusi swasta.
(v) Kepentingan pengajaran sains
dan teknologi.
(vi) Pembelajaran menggunakan
teknologi untuk menguasai maklumat.
(vii) Perubahan peranan guru
dalam bilik darjah.
(viii) Pembudayaan teknologi.
(ix) Penyediaan peluang
pendidikan.
(x) Aliran tenaga buruh atau
sumber manusia dari luar masuk dalam negara.
(xi) Kemahiran berbahasa dalam
pelbagai bahasa dapat mengatasi batasan untuk berkhidmat di mana-mana negara.
(xii)
Transformasi kurikulum dalam pendidikan mengikut kehendak semasa.
Tugas
guru dalam menyediakan murid menghadapi era globalisasi dan memenuhi hasrat
Wawasan 2020:
1. Latih pelajar untuk
berdikari dan bertanggungjawab atas pembelajaran sendiri.
2. Pelajar
diberi peluang berfikir pada aras tinggi, meneroka idea dan mencipta
inovasi.
Dalam
masa yang sama, guru harus meningkatkan amalan profesionalisme selain mengemas
kini maklumat agar sentiasa selari dengan arus perkembangan.
1.6 KEPELBAGAIAN
BUDAYA
Masyarakat berbilang budaya
Budaya bermaksud cara hidup
manusia dari segi pemikiran, kepercayaan dan perlakuan dalam sesuatu
mayarakat yang diterima oleh ahli anggotanya atau diwarisi secara
turun-temurun. Malaysia adalah sebuah negara yang unik kerana masyarakatnya
terdiri daripada perlbagai kaum.
Konsep kepelbagaian budaya harus
difahami bersama. Salah satu cara untuk menyatupadukan rakyat adalah dengan
membina negara bangsa dengan pemupukan semangat patriotisme dalam kalangan
pelajar. Antara langkah pembinaan negara bangsa:
i. Penghayatan prinsip Rukun
Negara.
ii. Pendedahan tentang aspek
kewarganegaraan dalam Pendidikan Moral.
iii. Bidang pelajaran
distrukturkan mengikut nilai-nilai yang berkaitan dengan perkembangan diri,
keluarga, masyarakat dan negara.
iv. Pengajaran
subjek Kajian Tempatan di sekolah dan subjek Sejarah di sekolah
menengah.
Contoh
situasi bagaimana guru dapat menangani cabaran kepelbagaian budaya serta
mewujudkan situasi bilik darjah mesra budaya:
1. Guru tahu secara mendalam
mengenai budaya murid (cth:lawatan, jemputan ke rumah)
2. Guru wujudkan peluang
mengumpul maklumat dalam kalangan pelajar (cth:berbincang dan berkongsi ilmu)
3. Guru guna bahan kurikulum yang
mewakili kumpulan etnik. (cth: topik pakaian tradisional).
4. Guru
wujudkan peluang murid memahami budaya lain (cth: program sekolah anak angkat).
1.7 PENGARUH
PERKEMBANGAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI
Perkembangan teknologi maklumat
dan Komunikasi (TMK) telah mencapai satu tahap di mana pengaruhnya dapat
dilihat di dalam kehidupan manusia. Antara faedah yang boleh diperoleh daripada
TMK ialah:
i. Pembentukan resos digital seperti
perpustakaan digital.
ii. Peluang kepada jaringan antara
para pendidik dan penyelidik berkongsi bahan penyelidikan dan akademik.
iii. Memperkembangkan
kemahiran aras tinggi seperti kolaborasi di mana-mana sahaja tanpa mengira
tempat dan masa serta penyelesaian masalah.
Teknologi
Maklumat dan Komunikasi mempengaruhi pendidikan
Pengaruh
TMK melalui rangkaian internet amat penting dari segi pengetahuan, perhubungan
dan perkongsian bahan pengajaran-pembelajaran. Cabaran guru atau masyarakat
ialah bagaimana mendidik generasi muda dalam penggunaan internet secara
berkesan untuk pendidikan dan bukan sebaliknya.
1.8
GEJALA SOSIAL
Era
globalisasi dan modenisasi yang berlaku sekarang ini bukan sahaja memberikan
kesan positif, tetapi sebaliknya. Rentetan daripada ini, maka kebanyakan
pelajar terlibat di dalam kebejatan sosial. Dalam masa yang sama, kecanggihan
teknologi zaman ini merupakan penyebab berlakunya gejala sosial contohnya
memuat naik gambar-gambar lucah menerusi telefon bimbit berteknologi tinggi.
Amaludin
dan Khadijah (2006) menyenaraikan 24 jenis gejala sosial yang melibatkan
penghuni pusat pemulihan akhlak seperti merokok, menonton video lucah, putus
cinta, mencuri, lari dari rumah, minum arak, mengambil pil khayal, berjudi,
menyimpan gambar lucah, mengadakan hubungan luar nikah, memeras ugut, pecah
rumah, menagih dadah, merogol, menyamun, makan rasuah, maksiat, bercerai dan
jenayah bunuh dan sebagainya.
Antara
faktor penyebab gejala sosial ialah sikap ibu bapa dan cara mendidik
anak-anak, sikap pelajar, pengaruh media massa, iklim
bilik darjah, pengaruh rakan sebaya terhadap sikap agresif, ponteng
sekolah, dan merosakkan harta benda sekolah.
Gejala
sosial di sekolah akan lebih parah jika tidak ditangani
Berhenti
dan renungkan. Bagaimana faktor media massa dapat menyebabkan gejala sosial
dalam kalangan murid?
Oleh yang
demikian, guru memainkan peranan penting dalam menangani masalah ini dengan
memupuk nilai-nilai murni di alam persekolahan. Antara tugas guru ialah:
i. Guru sebagai pembimbing.
ii. Meningkatkan penglibatan
kaunseling di peringkat sekolah.
iii. Gunakan pelbagai strategi
dalam bilik darjah.
iv.
Menerapkan nilai murni dalam program anjuran sekolah.
Sekiranya
masalah berlanjutan, penglibatan pihak berkuasa seperti pihak polis
haruslah diutamakan. Pihak pentadbir sekolah pula haruslah merujuk masalah ini
kepada pihak polis dan bukannya menyembunyikannya. Kerjasama pihak sekolah dan
pihak polis dapat mengekang daripada gejala sosial terus berleluasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan