ARKIB UTUSAN MALAYSIA ONLINE :
14/05/2014
Guru dan cabaran semasa
Oleh DR. AMINUDIN MANSOR
DENGAN memperkasakan peranan guru akan melahirkan
modal insan berkualiti. Itulah adalah antara tujuan terpenting dalam usaha
memberikan insentif kepada bidang pendidikan di negara ini.
Oleh itu, dalam melahirkan modal insan peranan
kerajaan dan guru adalah menjadi tonggak utama ke arah kejayaannya.
Dalam era globalisasi guru perlu menghadapi
cabaran semasa dalam proses pendidikan antaranya berkaitan integrasi nasional,
pendemokrasian pendidikan, tonggak pendidikan, globalisasi dalam pendidikan,
kepelbagaian budaya, pengaruh perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi
serta gejala sosial dalam kalangan pelajar merupakan antara cabaran terbesar
yang dilalui dan diuruskan oleh pihak guru.
Justeru, kerajaan tidak mengambil mudah dan
memandang ringan usaha memperkasa peranan guru dengan memberikan latihan,
kursus, ceramah dan juga motivasi supaya dapat memberikan kesan kepada pelajar
melalui pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah.
Usaha mentransformasikan profesion keguruan menjadi
profesion pilihan sedang dilaksanakan dengan mengetatkan syarat kemasukan guru
mulai 2013 supaya terdiri daripada kalangan graduan 30 peratus teratas.
Kajian pada 2011 menunjukkan bahawa Malaysia
disenaraikan di tempat ke-11 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan
Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai negara paling
menarik dari segi perkhidmatan pendidikan.
Seterusnya, kajian itu juga mendapati kira-kira
90,000 pelajar daripada 130 negara yang sedang menyambung pengajian di negara
ini. Sebahagian besar pelajar asing ini berasal dari China, Indonesia, Iran dan
Nigeria. Ini membuktikan Malaysia tempat paling menarik dan sesuai untuk
menyambung pengajian di peringkat tinggi.
Bagi memperkasa pendidikan negara, Melalui Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 sebanyak RM500 juta peruntukan
diluluskan meliputi program meningkatkan kemahiran guru Bahasa Kebangsaan,
Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dan penubuhan Education Delivery Unit
(EDU).
Sebagai guru pemahaman terhadap hasrat dan tujuan
PPPM sangat penting bagi merealisasikan dan mewujudkan kecemerlangan dalam
sistem pendidikan negara.
Ibu bapa meletakkan harapan tinggi dan majikan
menyuarakan kebimbangan atas keupayaan sistem pendidikan melengkapkan generasi
muda dengan persediaan secukupnya bagi menghadapi cabaran abad ke-21. Menyedari
hakikat bahawa sistem pendidikan adalah kompleks dan rencam, tempoh yang
panjang diperlukan untuk melihat impak transformasi yang dilaksanakan.
Ini juga memastikan setiap murid dan pelajar
menguasai kemahiran dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dan digalakkan mempelajari
bahasa tambahan. Di samping itu mentransformasikan profesion keguruan menjadi
profesion pilihan. Ini antara dua daripada 11 anjakan untuk transformasi
sistem.
Kejayaan dan kecemerlangan murid dan pelajar banyak
bergantung pada kehebatan P&P guru di dalam kelas. Jika guru dapat
menyampaikan isi pengajaran dengan baik dan berkesan murid dan pelajar mudah
memahaminya serta dapat menjawab soalan dalam peperiksaan dengan cemerlang.
Sebanyak 11 anjakan utama untuk mentransformasikan
sistem pendidikan negara dalam PPPM dan juga teras dan dasar pembangunan insan
mestilah difahami oleh semua terutama guru sebagai pelaksana dalam pendidikan
anak bangsa bagi memperkasa generasi muda pada masa depan.
* Melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem
penyampaian pendidikan dan latihan supaya ia berkualiti dan relevan dengan
keperluan semasa;
* Memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah
pilihan utama rakyat Malaysia yang berbilang kaum bagi meningkatkan perpaduan
negara
* Melaksana langkah bagi merapatkan jurang prestasi
antara sekolah luar bandar dan bandar, termasuk mempertingkatkan kualiti
pengajaran, prasarana dan kemudahan serta menempatkan guru berpengalaman di
sekolah luar bandar;
* Membangunkan universiti bertaraf antarabangsa dan
memastikan pendidikan dan latihan di peringkat tertinggi memenuhi keperluan
pasaran;
* Menyediakan lebih banyak peluang dan akses kepada
pendidikan latihan dan pembelajaran sepanjang hayat yang berkualiti di semua
peringkat;
* Membangunkan masyarakat inovatif dan kreatif, yang
mempunyai pengetahuan dan keupayaan sains dan teknologi yang kukuh serta
memiliki kemampuan memperoleh dan menggunakan pengetahuan;
* Memperkukuhkan perpaduan nasional dan
membangunkan masyarakat yang mempunyai perspektif progresif, budaya prestasi
tinggi, sistem nilai-nilai murni serta menghargai tradisi dan warisan; dan
* Memperluaskan dan memperkemaskan forum
perbincangan dan perundingan antara kerajaan, sektor swasta, ibu bapa dan
masyarakat dalam pembangunan modal insan.
Oleh itu, pihak kerajaan sebagai badan perancang
utama menyediakan bajet dan peruntukan untuk membangunkan modal insan. Manakala
para guru adalah pihak yang akan melaksanakan tujuan ke arah membangunkan modal
insan yang berkualiti untuk pemimpin negara pada masa akan datang.
Ingatlah bahawa guru yang paling baik adalah guru
yang paling banyak belajar daripada muridnya. Tujuan tertinggi perguruan
bukanlah semata-mata untuk mencari ilmu pengetahuan, tetapi mendidik muridnya
dengan perbuatan yang baik dalam kehidupan.
PENULIS ialah
Pengamal media, berkelulusan PhD Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140514/re_07/Guru-dan-cabaran-semasa#ixzz3VQp01j4s
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan