FAKTOR DAN
CARA MENANGANI STRES DALAM KALANGAN GURU
1.0 PENGENALAN
Peranan guru amat penting dewasa ini,
ia adalah domain utama yang perlu dilaksanakan dengan penuh amanah dalam proses
penerapan dan penyampaian ilmu kepada anak bangsa. Ledakan era globalisasi
turut mengheret kemajuan pesat bidang pendidikan negara.
Hal ini menuntut warga pendidik untuk membangunkan diri, sama ada secara rela atau tidak supaya selari dengan bidang pendidikan yang sememangnya sentiasa berubah dan mengalami pembaharuan dari masa ke semasa. Situasi inilah secara umumnya telah mengakibatkan warga pendidik terpaksa berhadapan dengan pelbagai tugas dan tanggungjawab yang lebih mencabar, lebih berat dan semakin terbeban. Situasi inilah menyebabkan guru-guru dikatakan sangat terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami stres.
Hal ini menuntut warga pendidik untuk membangunkan diri, sama ada secara rela atau tidak supaya selari dengan bidang pendidikan yang sememangnya sentiasa berubah dan mengalami pembaharuan dari masa ke semasa. Situasi inilah secara umumnya telah mengakibatkan warga pendidik terpaksa berhadapan dengan pelbagai tugas dan tanggungjawab yang lebih mencabar, lebih berat dan semakin terbeban. Situasi inilah menyebabkan guru-guru dikatakan sangat terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami stres.
Dipetik daripada Utusan Online
ruangan Gaya Hidup bahagian pendidikan oleh Noor Hamizah Abu Bakar di dalam
artikelnya yang bertajuk; Guru Lebih Stes, menyatakan hasil kajian mendapati
bahawa guru berada di kedudukan keempat dalam kerjaya yang paling mencetuskan
tekanan atau stres terutama dari segi fizikal selepas polis, pegawai penjara
dan jururawat. Malah, kedudukan itu berada di atas daripada profesion tentera
yang menduduki tempat ke lima.
Stres di kalangan guru merupakan
topik popular yang tidak asing lagi dibincangkan oleh media massa mutakhir
kini. Di Malaysia, stres di kalangan guru dilaporkan meningkat pesat selari
dengan kepesatan pembangunan pendidikan di Malaysia. Laporan berkenaan masalah
dan salah laku guru di dada-dada akhbar, hampir kesemuanya adalah kesan
daripada kegagalan guru-guru berkenaan menguruskan stres dalam diri. Masalah
stres dikalangan guru haruslah dikenal pasti dan diketahui punca sebenar
seterusnya ditangani sewajarnya. Sekiranya tidak ditangani masalah ini akan
merebak sehingga mengakibatkan permasalahan-permasalahan yang serius yang berhubung
kait rapat dengan gangguan emosi, perubahan dalam tingkah laku seterusnya “burn
out” yang menghalang mereka daripada melaksanakan tugas dan tanggungjawab
dengan lebih berkesan (Kyriacou dan Sutcliffe, 1978).
2.0 DEFINISI STRES
Stres merupakan perkataan pinjaman
yang bersal daripada perkataan bahasa Inggeris; “stress” yang membawa maksud
tekanan, titik berat, dan ketegangan.
Kamus Oxford pula mendefinisikan
stres sebagai satu tekanan atau desakan, usaha, tuntutan ke atas keupayaan
fizikal atau mental.Ini bermaksud stres adalah suatu keadaan dimana kekuatan
fizikal, mental dan emosi seseorang individu teruji melampaui keupayaan tubuh
dan mindanya yang tidak mampu menahan dan menanggungnya lagi.
Menurut Statt (1981), stres ialah
ketegangan fizikal dan psikologi yang berpanjangan untuk suatu masa, yang boleh
menggugat keupayaan seseorang untuk mengendali suatu situasi.
Hans Selye (1963), telah memberikan
maksud yang berbeza mengenai stres dengan membuktikan di dalam kajiannya
terhadap binatang. Beliau menunjukkan bahawa stres boleh menyebabkan penyakit,
seterusnya penyakit yang dihidapi akibat daripada stres yang berlebihan boleh
membawa maut. Daripada kajian beliau juga mendapati stres juga boleh berlaku ke
atas manusia.
Secara keseluruhannya stres adalah :
· Ketidakupayaan memenuhi tuntutan
persekitaran.
· Gangguan fungsi kehidupan.
· Perubahan dinamik yang menyebabkan
individu berdepan dengan masalah, kekangan dan desakan hidup.
· Peristiwa atau keadaan persekitaran
yang mendatangkan akibat yang negatif.
· Tekanan yang mengakibatkan
kebimbingan, keletihan dan ketegangan kepada individu.
· Tindak balas luaran yang mengganggu
mental dan fizikal atau tindak balas kimia dalam tubuh.
3.0 FAKTOR-FAKTOR STRES DI KALANGAN
GURU
Terdapat banyak punca berlakunya
stres dikalangan guru. Faktor-faktor ini dapat dibahagikan kepada lima faktor
utama;
· Faktor diri.
· Faktor interpersonal.
· Faktor organisasi.
· Faktor kekurangan sumber.
3.1 Faktor diri
Pada zaman yang sangat mencabar,
pekerjaan yang diimpikan amat sukar untuk diperolehi. Kebanyakan mahasiswa
keluaran universiti-unversiti tempatan terpaksa mengangur begitu lama untuk
mencari pekerjaan yang selesea, mudah, dan menjanjikan gaji yang lumayan.
Profesion keguruan sering dilihat
sebagai pilihan terakhir. Sering kali profesion ini dianggap sebagai profesion
peringkat pertengahan di bawah profesion professional yang lain seperti doktor,
jurutera, peguam dan lain-lain. Ini menyebabkan ramai dikalangan guru yang
tidak ikhlas semasa memilih profesion ini. Mereka meramalkan profesion ini
begitu selesa dan tidak menyusahkan kerana beranggapan tanpa latihan asas pun
mereka masih boleh menjadi guru dan menerima gaji bulanan yang lumayan
disamping cuti yang banyak.
Hal ini menyebabkan golongan guru
seperti ini menghadapi tekanan sebaik sahaja menjalani kehidupan sebagai
seorang guru kerana realiti situasi yang dihadapi tidak seperti apa yang
diramalkan. Menjadi seorang guru bukanlah sesuatu yang mudah. Insan guru
mestilah insan yang ikhlas dan sanggup berkorban.
3.2 Faktor Interpersonal
Daripada kajian yang telah
dijalankan, Azizi Yahya (2007) mendapati diantara faktor interpersonal stres
dikalangan guru ialah meraka merasakan diri mereka tersisih daripada rakan
sekerja. Selain daripada itu, rakan guru juga mementingkan diri serta tidak
menghormati tindakan, perasaan serta pendapat dari rakan guru yang lain.
Hal ini sepatutnya tidak berlaku
kerana setiap insan guru perlulah meningkatkan motivasi diri, menanam sikap
tolong menolong, bekerjasama dalam menyelesaikan sesuatu tugasan yang
ditetapkan. Di samping menghormati perasaan dan pendapat rakan sekerja dengan
hati yang terbuka dan cuba mempertingkatkan kelemahan yang ada pada diri
.
.
3.3 Faktor Organisasi
Faktor organisasi merupakan antara
faktor yang terbesar menyebabkan stres dikalangan guru. Faktor ini juga
merupakan faktor yang utama dalam sektor awam selain guru. Antara faktor-faktor
stres yang dikategorikan sebagai faktor organisasi ialah;
· Semua kerja perlu segera -
kesuntukan masa.
· Tugasan kerja berterusan (kronik).
· Perbezaan persediaan tugas dengan
ketetapan tugas.
· Tugasan kerja kerana kuantitatif
dan kualitatif.
· Perubahan dasar yang drastik.
Faktor-faktor yang diatas secara
umumnya terus menerus berlaku dalam profesion keguruan dan telah menambah beban
guru. Dipetik daripada arkib Utusan Online bertarikh 18 Mei 2009, Presiden
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Anang di dalam
laporan yang bertajuk; Beban Tugas boleh Bawa Tekanan Perasaan Guru, menegaskan
bahawa peningkatan beban tugas dan tekanan kerja menyebabkan semakin ramai
kalangan guru terdedah kepada risiko mengalami tekanan perasaan.
3.4 Faktor kekurangan Sumber.
Kekurangan sumber terutamanya sumber tenaga
manusia merumitkan lagi masalah stres yang dihadapi dalam bidang keguruan.
Kekurangan guru sememangnya diakui merupakan faktor yang rumit dan sukar
diatasi. Hal ini menabahkan lagi bebanan kerja guru-guru sedia ada secara terus
menerus. Tahap stres guru sememangnya bertambah berikutan keadaan jumlah guru
yang kurang dan tidak seimbang serta peningkatan jumlah murid tahun, guru-guru
seringkali memikul tanggung jawab dan bebanan yang banyak.
Aziz Yahya (2007) menegaskan diantara
faktor stres dikalangan guru ialah mereka terpaksa melakukan tugas yang
bertentangan dengan bidang, kemahiran dan kehendak mereka. Hal ini sama sekali
tidak akan berlaku sekiranya bilangan guru di sekolah mencukupi.
4.0 MENGENDALIKAN STRES DI KALANGAN
GURU
Kesemua faktor yang menyumbang kepada
masalah stres di kalangan guru seharusnya diambil perhatian sepenuhnya oleh
semua pihak seterusnya di atasi dengan cara yang palin sesuai dan berkesan.
Sebagai tunggak pendidikan negara, guru sememangnya perlu bijak menangani
segala isu pendidikan agar dapat mengawal stres. Oleh itu, guru perlu bijak
dalam mengendalikan stres. Kegagalan guru untuk mengendalikan stres memberikan
kesan negatif kepada kesejahteraan fizikal, mental dan emosi guru sekaligus
menjejaskan profesion keguruan dan bidang pendidikan negara.
Stress dalam kalangan guru dapat
dikendalikan dengan strategi berikut:
4.1 Kenal pasti reaksi emosional.
Apabila keperluan emosi dapat dikenal
pasti maka seseorang guru boleh menangani stress dengan cara yang lebih positif.
Contoh situasi, seorang guru perempuan tidak bersefahaman dengan pengetua di
sekolahnya. Guru tersebut telah menangani stress dengan cara yang negatif,
iaitu menengking pengetua itu. Setelah guru tersebut mengetahui keperluan emosi
dalam dirinya, guru tersebut sedar bahawa tindakannya adalah kerana suatu masa
dahulu ayahnya telah menggunakan pendekatan yang sama oleh pengetua itu, iaitu
lagak bapa yang menghukum anaknya. Guru tersebut sedar bahawa dia inginkan
pengetua itu menghargai beliau. Guru tersebut telah berhadapan dengan pengetua
dan memberitahu perasaannya itu. Akhirnya, hubungan mereka berjaya dipulihkan.
4.2 Komitmen sosial.
Apabila berhadapan dengan stress,
guru memerlukan sokongan daripada orang-orang di sekelilingnya. Oleh itu,
komitmen sosial amatlah penting.
4.3 Kehidupan fizikal.
Stress menjejaskan kesihatan dari
segi imunisasi tubuh. Oleh itu, seseorang guru harus tahu teknik yang berkesan
untuk menangani stress terutamanya menjelang waktu-waktu tekanan memuncak
seperti musim peperiksaan pelajar dan pertukaran pentadbiran di sekolah.
Pengetahuan dalam senaman rutin dan
pelan makanan seimbang boleh membantu guru menangani stress. Seorang guru perlu
memberi perhatian kepada penjagaan kesihatan dan kecergasan diri. Perbanyakkan
melakukan dan menyertai aktiviti yang menjurus kepada senaman berbentuk fizikal
seperti aerobik dan bermain badminton serta melakukan secara beramai-ramai bagi
menimbulkan suasana yang harmoni dan penuh gelak-ketawa.
Selain dari menjaga kecergasan diri,
guru juga boleh bersosial dengan teman-teman rapat dalam masa yang sama untuk
bertukar-tukar pandangan dan pendapat tentang sesuatu isu.
Semua guru haruslah mengamalkan gaya
hidup yang sihat dalam kehidupan seharian. Ini termasuklah menjaga soal
pemakanan dengan pengambilan makanan yang seimbang serta banyak menghabiskan
masa dengan keluarga dan mengelakkan gaya hidup yang negatif seperti merokok,
minum arak, berhibur di kelab malam dan sering tidur lewat.
4.4 Intelek
Guru hendaklah bergaul dengan
golongan yang memiliki tahap intelek yang serupa dengan mereka kerana aspek
intelek boleh membantu guru menangani stress (Gold Yvonne dan A. Roth Robert,
1993).
Dengan menjadi guru tidak semestinya
kita tidak perlu menambah ilmu pengetahuan terutamanya dalam mengetehui cara
mengatasi stres. Guru seharusnya terus memperbanyakkan maklumat mengenai
pengurusan tekanan dari pembacaan buku ataupun rencana akhbar mahupun menonton
rancangan-rancangan berkaitan di televisyen. Lebih banyak maklumat yang
diperolehi maka lebih mudahlah untuk seseorang guru mengurus tekanannya.
Stress jika dibiarkan, boleh
mendatangkan kesan sampingan yang tidak baik. Justeru adalah penting untuk
mengubah diri individu untuk menangani stress dengan cara yang terbaik. Kenal
pasti punca yang menyebabkan masalah tersebut dan ubah. Dengan mengetahui punca
stress tersebut, individu bukan hanya meringankan masalah kini malah
menghindarkan berulangnya masalah serupa pada masa akan datang. Contohnya, jika
seseorang guru kecewa dengan perbalahan dengan pelajarnya, guru tersebut
mungkin menyedari bahawa punca kekecewaannya itu bukan disebabkan oleh tingkah
laku pelajar tetapi harapan yang tidak realistik guru berkenaan. Dengan
mengubah standard yang ingin dicapai, guru tersebut akan mendapati bahawa
tingkah laku pelajar tidak lagi mengganggunya.
Bagi mengatasi masalah tersebut juga,
Goleman (1999) telah menyarankan lima faktor atribusi terhadap masalah stress
atau burnout. Faktor- faktor tersebut ialah:
a) Kesedaran Kendiri (self-awareness)
b) Pengawalan Kendiri (self-regulation)
c) Motivasi Kendiri (self-motivation)
d) Empati
e) Kemahiran Sosial (social skills)
Faktor atribusi pertama iaitu
kesedaran kendiri bermaksud kebolehan seseorang guru untuk mengetahui perasaan
mereka dalam satu-satu situasi dan keupayaan mereka untuk memilih keutamaan
panduan dalam membuat keputusan. Seseorang guru yang mempunyai kesedaran
kendiri juga mempunyai penilaian yang realistik tentang keupayaan diri dan
mereka mempunyai keyakinan diri yang utuh.
Pengawalan kendiri (self-regulation)
dimaksudkan sebagai kebolehan mengurus emosi agar ianya memudahkan dan bukannya
mengganggu dalam menyelesaikan sesuatu tugasan. Guru yang boleh mengawal diri
mereka sentiasa berhemah dan boleh menangguhkan sementara perasaan negatif
mereka. Guru sedemikian juga cepat pulih daripada tekanan emosi.
Guru yang mempunyai motivasi kendiri
(self-motivation) berupaya menggunakan kehendak diri dalam menggerak dan
memandu arah mereka untuk mencapai sesuatu tujuan. Motivasi kendiri boleh
membantu seseorang dalam mengambil inisiatif dan bersungguh-sungguh untuk
memperbaiki diri. Individu dengan motivasi kendiri yang tinggi sentiasa tabah
apabila menghadapi masalah atau dalam keadaan kekecewaan yang tinggi.
Empati merupakan faktor atribusi yang
boleh membantu seseorang mengesan perasaan orang lain. Sifat berempati juga
membolehkan seseorang guru melihat atau memahami sudut pandangan orang lain.
Sifat ini juga boleh menjadi faktor pencetus dan penyubur kemesraan dan
keserasian dengan individu dari pelbagai latar belakang. Individu yang
mempunyai sifat empati boleh menyelami keperitan, kesusahan, kekecewaan atau
keraguan seseorang terhadap sesuatu perkara. Rogers (dalam Corey, Corey &
Callahan 1998) menyatakan bahawa seseorang yang boleh menunjukkan sifat
berempati akan lebih mudah berinteraksi dengan orang lain terutama dalam proses
membantu seseorang. Guru perlu memiliki sikap ini supaya dengan mudah memahami
dan mendekati murid. Murid akan berasa selesa bersama guru dengan adanya
kemahiran tersebut.
Faktor atribusi terakhir yang
dicadangkan oleh Goleman (1999) ialah kemahiran bersosial (social skills).
Beliau menyatakan bahawa faktor kemahiran bersosial ini membolehkan seseorang
mengurus pelbagai emosi secara efektif dalam perhubungan. Mereka juga mampu
mentafsir dengan tepat situasi sosial dan jaringannya selain daripada mahir
memujuk dan memimpin. Seseorang guru yang mempunyai kemahiran bersosial yang
berkesan juga mampu menjadi pakar runding yang baik disamping berkebolehan
menyelesaikan konflik bagi mewujudkan kerjasama dan semangat berpasukan dalam
bilik darjah.
Selain itu hubungan interpersonal
yang baik juga perlu bagi guru antaranya berkongsi masalah dengan rakan
sekerja, rakan sekerja sentiasa memberi kerjasama dan sentiasa mendapat galakan
daripada pentadbir
Kyriacou (1987) juga menekankan
bahawa stres yang berpanjangan boleh melemahkan mental dan fizikal serta
berupaya melemahkan secara signifikan kerjaya guru dan prestasi pelajarnya
kerana stress menjejaskan kualiti pengajaran dan komitmen para guru. Keberkesanan
sesuatu pendidikan adalah bergantung kepada pengerak utama sistem ini iaitu
guru-guru. Prestasi guru dan komitmen adalah penting bagi seseorang guru untuk
membantu anak bangsa dalam memperolehi kejayaan.
5.0 KAEDAH ISLAM DALAM MENANGANI STRES
Islam merupakan agama yang sempurna.
Cara yang terbaik dalam menangani stres ialah dengan mendekatkan diri kepada
Allah. Hashim Anang (2009) menyatakan pendidikan dan pengamalan Islam yang
sepenuhnya akan membantu mengatasi masalah stres dikalangan guru.
Seorang guru yang beragama Islam
seharusnya memainkan peranannya sebagai agen dakwah dengan melakukan segala
perintah di dalam agama Islam terlebih dahulu. Di dalam ajaran Islam misalnya,
amalan solat yang khusyuk lima waktu sehari semalam sebenarnya merupakan kaedah
terbaik untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan sekaligus menangani segala
masalah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Mukminun, 23: 1&2 yang
bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman, Iaitu mereka
Yang khusyuk Dalam solatnya".
Perkataan “aflaha” atau berjaya di
sini bukan sekadar berjaya di dunia malah berjaya juga di akhirat. Mereka yang
beroleh khusyuk dalam solat, akan juga beroleh khusyuk dan ketenangan dalam
kehidupan dan minda mereka. Malah seruan azan juga turut mengaitkan solat
dengan kejayaan. Marilah bersolat dan marilah menuju kejayaan.
Abu Darda' di dalam kitab al-Asas fi
Tafsir menyatakan bahawa khusyuk itu ialah pengagungan terhadap Tuhan,
keikhlasan dalam perkataan, kesempurnaan dalam keyakinan, memberikan sepenuh
perhatian dan tidak berpaling ke kiri dan kanan kerana ia adalah dari syaitan.
Faedah khusyuk ini akan membina jati diri seseorang muslim yang taat dan soleh,
yang tenang dan aman jiwanya dan yang ikhlas dalam tindak-tanduk amalnya.
Ketenangan jiwa merupakan penawar utama bagi masalah stres.
Berzikir juga merupakan amalan yang
mampu menenangkan jiwa dan menghilangkan stres. Dalam hal ini, Allah SWT
memberi jaminan bahawa mereka yang senantiasa mengingati-Nya akan beroleh
ketenangan hati. Allah SWT berfirman dalam surah al-Rad, 13: 28 yang bermaksud,
"(Iaitu) orangp-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan
zikrullah". Ketahuilah Dengan "zikrullah" itu, tenang
tenteramlah hati manusia". Allah SWT juga berfirman dalam surah
al-Baqarah, 2:152 yang bermaksud; "Maka berzikirlah (ingatlah) kepada-Ku,
nescaya Aku akan mengingati kamu sekelian".
Amalan membaca, mendengar dan
menghayati al-Quran juga mampu menjadi penenang kepada jiwa. Diriwayatkan
bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Al-Quran adalah penawar
kepada kesakitan minda". (Hadis riwayat Bukhari). Rasulullah SAW juga
pernah bersabda: "Didiklah anak-anak kamu atas tiga sifat iaitu: Cintakan
nabi mereka, cintakan keluarga nabi dan membaca al-Quran".
Jelas di sini berdasarkan pencerahan
beberapa amalan di atas, Islam mempunyai kaedah tersendiri dalam menjaga
kesihatan jiwa dan menangani stres. Mereka yang mengalami stres khususnya di
kalangan guru seharusnya berusaha mencapai solat yang khusyuk, sentiasa
berzikir dan menghayati isi kandungan al-Quran. Amalan-amalan ini terbukti
mampu menjadikan diri kita sihat zahir dan batin.
6.0 PENUTUP
Profesion perguruan adalah profesion
yang tidak mempunyai pembahagian masa yang jelas antara masa bekerja dan masa
tidak bekerja. Keadaan sedemikian sememangnya mewujudkan stres kepada
guru-guru.
Profesion keguruan dan tugas guru
merupakan bidang yang kompleks dan mencabar. Guru bukan sahaja perlu mengajar,
malah perlu melakukan kerja-kerja pengkeranian dan pentadbiran, menjalankan
aktiviti kokurikulum dan juga melibatkan diri secara aktif dalam Persatuan
Ibu-Bapa dan Guru. Disamping kerja-kerja yang dinyatakan, guru juga perlu
memastikan tanggung jawab utama iaitu berinteraksi dengan pelajar-pelajar
secara fizikal, dan emosi semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung
dalam keadaan yang kodusif.
Boleh dikatakan stres dapat dikawal
dengan baik oleh guru sekiranya mereka mementingkan kepada cara-cara untuk
menguruskan stres tersebut. Pengurusan stres amat kritikal atau diperlukan oleh
guru bagi memastikan mereka sentiasa bersedia untuk menghadapi segala cabaran
dalam profesion keguruan dan dunia pendidikan yang mendatang. Hal ini seterusnya
akan membantu pemecutan kemajuan bidang pendidikan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan